Mendalami Zakat Emas & Perak

Assalamualaikum,

Adakah perhiasan emas dan perak dikenakan zakat?

Emas dan perak wajib dizakatkan sekiranya cukup syarat. Bagi perak ia termasuk perhiasan atau barangan yang disimpan. Ia dikira mengikut harga 1 gram perak semasa. Ini adalah berdasarkan Firman Allah S.W.T yang bermaksud: …dan (ingatlah) orang yang menyimpan emas dan perak serta tidak membelanjakannya (zakat) pada jalan Allah, maka khabarkanlah kepada mereka dengan (balasan) azab seksa yang tidak terperi sakitnya. (Surah al-Taubah: ayat 34-35)
Begitu juga dengan Hadis Nabi S.A.W. riwayat daripada Muslim yang bermaksud: Tidak ada seorang yang mempunyai emas dan perak yang tidak menunaikan zakatnya, melainkan pada hari kiamat dijadikan hartanya itu beberapa keping api neraka. Setelah dipanaskan, digosokkan ke lambung, dahi dan belakangnya, setiap kali ia sejuk dipanaskan semula, pada satu hari yang lamanya 50 ribu tahun sehingga Allah menyelesaikan segala perkara yang berkaitan dengan hambaNya.
(Riwayat Muslim)

Adakah emas yang DISIMPAN diwajibkan zakat?

Emas yang disimpan dan dipakai wajib dizakatkan sekiranya cukup syarat. Emas yang disimpan bermaksud emas yang tidak digunakan atau tidak dipakai walaupun sekali dalam tempoh setahun. Nisab zakat emas yang disimpan (tidak dipakai) ialah 85 gram. Ulama’ sepakat mengatakan bahawa emas apabila cukup 20 misqal, wajib dikenakan zakat. Kadar zakat emas ialah rubu’ al-’usyur iaitu satu perempat puluh atau dua setengah peratus (1/40 atau 2.5%) daripada nilai emas semasa sekiranya kadar yang dimiliki itu sama atau melebihi nisabnya. Harga zakat emas yang dikenakan adalah mengikut ketulenan EMAS. Sebelum anda ingin membayar zakat, anda mestilah memberitahu ketulenan emas tersebut samada 999, 916, 875 atau 750. Pegawai zakat akan mengira berdasarkan ketulenan emas tersebut. Setiap ketulenan emas mempunyai nilai per gram yang berbeza untuk dizakatkan.

Adakah emas perhiasan yang DIPAKAI tidak dikenakan zakat?

Ya, barang kemas yang dipakai tidak dikenakan zakat selagi ianya tidak melebihi had pemakaian yang dibenarkan. Emas yang dipakai (sebagai perhiasan) sekali-sekala atau secara berterusan dalam tempoh setahun tidak wajib dikeluarkan zakat ke atasnya. Walau bagaimanapun jika ia melebihi ‘uruf maka wajib dikeluarkan zakat dengan kadar 2.5% atas nilai emas yang dipakai. Nilai yang diambil kira adalah nilai semasa emas sahaja dan tidak termasuk batu permata atau seumpamanya.
Zakat emas perhiasan wanita akan dikenakan berdasarkan kadar uruf. Uruf bererti cara dan corak pemakaian wanita tempatan. Zakat emas perhiasan ini tertakluk pada lembaga zakat negeri masing-masing. Contohnya zakat emas di Terengganu dikenakan sekiranya emas perhiasan mempunyai berat lebih dari 850 gram,  manakala di Kelantan, emas yang dipakai tidak dikenakan zakat. Maklumat ini mungkin berubah dan anda haruslah berhubung sendiri dengan lembaga zakat negeri masing-masing mengenai kadar uruf negeri masing-masing. Berikut adalah senarai nilai uruf bagi negeri-negeri di Malaysia rekod pada 2008.
  1. Uruf emas bagi negeri Kedah adalah 150 gram.
  2. Uruf emas bagi negeri Perlis adalah 170 gram
  3. Uruf emas bagi negeri Pulau Pinang adalah 165 gram
  4. Uruf emas bagi negeri Melaka adalah RM5000
  5. Uruf emas bagi negeri Johor adalah 850 gram
  6. Uruf emas bagi negeri Sembilan adalah 200 gram
  7. Uruf emas bagi negeri Selangor adalah 800 gram
  8. Uruf emas bagi Wilayah Persekutuan adalah 150 gram
  9. Uruf emas bagi negeri Kelantan : tiada uruf
  10. Uruf emas bagi negeri Terengganu adalah 850 gram
  11. Uruf emas bagi negeri Pahang adalah 200 gram
  12. Uruf emas bagi negeri Perak adalah 500 gram
  13. Uruf emas bagi negeri Sabah adalah RM5000
  14. Uruf emas bagi negeri Sarawak adalah 775 gram

Bagaimanakah cara pengiraan zakat emas?

Kaedah pengiraan zakat emas perhiasan (emas yang dipakai). Zakat emas perhiasan hanya wajib dikenakan sekiranya timbangan emas yang dipakai adalah sama atau melebihi uruf (mengikut negeri). Kaedah pengiraannya ialah: (Timbangan emas (gram)) x (harga emas semasa/gram) x 2.5%
Contoh:

Berat emas yang dimiliki : 950 gram
Harga emas semasa/gram : RM 50
Kadar zakat : (950 x 50) x 2.5% = RM 1,187.50

Kaedah pengiraan zakat emas yang disimpan. Zakat emas yang disimpan hanya wajib dikenakan sekiranya timbangan emas yang disimpan adalah sama atau melebihi uruf (85gm). Kaedah pengiraannya ialah: (Timbangan emas (gram)) x (Harga emas semasa/gram) x 2.5%
Contoh:
Berat emas yang dimiliki : 100 gram

Harga emas semasa/gram : RM 160
Kadar zakat : (100 X 160) x 2.5%  = RM400.00


Bagaimanakah untuk mengira zakat, jika emas bertatah batu-batu permata atau berlian?

Sekiranya batu kecil, ia akan ditolak dengan anggaran sebanyak 0.02 gram per batu manakala bagi batu besar akan ditolak 0.5 gram per batu. Setelah ditolak jumlah berat batu, maka barulah dikira berat emas tersebut.

Adakah emas yang disimpan di dalam bank perlu dizakatkan?

Ya, wajib dizakatkan dan dikira sebagai emas yang disimpan.

Sekiranya saya telah menggadaikan sejumlah emas perhiasan ke dalam Skim Al-Rahnu, perlukah saya membayar zakat untuk emas yang digadaikan itu?

Tidak wajib, kerana tidak sempurna milik.

Adakah perlu dizakatkan bagi emas atau perak yang dijadikan jongkong emas atau yang dibuat pinggan mangkuk, piala, cenderamata dan lain-lain?

Bijih emas atau bijih perak atau emas atau perak yang telah dilebur dan dijadikan jongkong-jongkong emas atau perak atau yang telah dijadikan perhiasan atau perkakas rumah seperti pinggan mangkuk, sudu dan lain-lain adalah wajib zakat pada tiap-tiap tahun jika cukup syarat.
*******************************************
Persoalan dan jawapan di atas hanyalah di ambil sebahagiannya sahaja untuk rujukan. Untuk hukum dan senarai pelbagai persoalan lain boleh baca sepenuhnya mengenai zakat emas dan perak dengan merujuk di website; Zakat Emas dan Perak Oleh Lembaga Zakat Selangor (Majlis Agama Islam Selangor).
Untuk kiraan zakat emas secara online boleh kira di website; Kalkulator Zakat Emas dan Perak di E-Zakat Online.
Sumber rujukan: Lembaga Zakat Selangor

p/s : Bila cukup 'Uruf, merasa juga lah berzakat untuk zakat Emas. Sebelum ni mungkin hanya zakat Simpanan atau zakat Fitrah sahaja :)
Oh, Osem!

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...